topbella

Khamis, Julai 15

Perang Mu'tah (غزوة مؤته)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

   Salam Mujahadah buat sahabat sahabiyah dan akh ukti, semoga dirahmati ALLAH s.w.t. serta diberi naungan hidayahNYA sentiasa, aaamin.....

   Salam Imtihan Uula juga diucapkan buat ikhwah ikhwati khususnya di Universiti Mu'tah, di doakan agar kita semua mendapat kejayaan serta kecemerlangan. Mudah-mudahan segala ilmu yang diperoleh, tersimpan kemas di dada agar kita dapat manfaatkan sebaiknya sebagai bekalan hidup sebagai seorang musafir di dunia yang bakal fana ini menuju ke Akhirat yang abadi. InsyaALLAH.... Buat ikhwah ikhwati di luar sana yang sudah bekerja, semoga kalian tabah dalam melalui liku2 juga pahit maung kehidupan dalam usaha mencari rezeki yang halal di sisi ALLAH untuk diri dan keluarga. Semoga kalian sentiasa dilindungi, diberi 'inayah serta diberkati olehNYA... Aaaamin..

   Di sini, maksue ingin berkongsi juga menceritakan satu peristiwa agung Islam yang berlaku di kawasan tempat belajar sekarang (Mu'tah). 

Akh dan Ukhti yang dihormati,

Sesungguhnya ALLAH s.w.t telah berfirman dalam surah At-Taubah ayat : 111,

إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا فى التورئة والإنجيل والقرءان ومن أوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذى بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم

Maksudnya : Sesungguhnya ALLAH membeli jiwa dan harta orang-orang yang beriman bahawa untuk mereka ganjaran Syurga. Mereka berperang di jalan ALLAH lalu mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar bagi ALLAH (yang termaktub) dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada ALLAH. Oleh itu bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual itu. Demikian itulah kemenangan yang besar.

   Perang Mu'tah (bahasa Arab: معركة مؤتة , غزوة مؤتة‎) sebagaimana perang2 Islam yang lain, perang ini telah memahatkan peristiwa bersejarah di mana pada bulan Jamadil Awwal telah berlakunya peperangan Mu’tah di Mu’tah yang terletak berhampiran dengan Kota Karak, Jordan. Ia berlaku pada sekitar tahun 629M / 8H ketika di akhir kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.  Tujuan Baginda menghantar tentera Islam kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan Harith bin Umair Al-Azdi yang merupakan utusan yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada Raja Busra ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke wilayah jajahan Rom. Ketika ini Baginda menghantar tentera seramai 3,000 orang Tentera muslimin yang telah dikumpul dalam masa yang singkat untuk keluar berperang di Mu’tah di mana Rasulullah S.A.W tidak turut serta dalam peperangan ini untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang tentera.



Daripada tindakan ini dapatlah kita mengambil iktibar yang mana Islam bukanlah agama yang tertegak melalui mata pedang kerana peperangan adalah langkah yang terakhir selepas utusan yang diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tidak diterima malah dikhianati maka barulah tindakan yang lebih kasar iaitu peperangan boleh dilakukan.
<---- Makam Al-Harith bin Umair Al-Azdi


Sebelum para Tentera Muslimin memulakan perjalanan mereka, Rasulullah S.A.W telah memberi arahan dari segi kepimpinan ketika berlakunya peperangan nanti di mana Baginda Rasulallah s.a.w melantik tiga orang panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima, kemudian diikuti oleh Ja’afar bin Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja'afar sekiranya Ja'afar syahid. Jika ketiga-tiganya telah gugur maka para tentera diminta memilih salah seorang yang thiqah atau dipercayai di kalangan mereka untuk memimpin. 

Rasulullah s.a.w juga mengingatkan mereka agar tidak terus melancarkan serangan, sebaliknya meminta agar pembunuh utusan dakwah itu ditangkap dan di bawa ke Madinah disamping menyeru kepada penduduk Mu’tah agar beriman terlebih dahulu. Jika seruan itu ditolak maka barulah mereka boleh melancarkan serangan. Walaubagaimanapun, Baginda turut berpesan agar tidak membunuh kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, tidak mengerat pohon kurma dan pokok serta tidak memusnahkan kediaman mereka. Inilah ia keadilan Islam di mana tidak ada erti balas dendam sebaliknya walau pun telah jelas berlakunya kezaliman terhadap utusan dakwah yang dihantar namun usaha untuk menyeru kepada Islam mestilah didahulukan sebelum sesuatu peperangan dilancarkan setelah musuh berdegil dan melawan seruan dakwah itu. Begitu juga kepentingan kepada pemilihan dan perlantikan kepimpinan mestilah dititik beratkan di mana ia mesti disertai dengan amanah oleh pemimpin dan taat serta kepercayaan oleh orang di bawahnya.

Ketika Tentera Islam mahu bertolak ke medan perang, mereka kehairanan melihat Abdullah bin Rawahah menangis. Ketika ditanya tentang sebab beliau menangis lalu beliau menyatakan bahawa masih tersemat cinta pada dunia dihatinya sedangkan Rasulullah s.a.w telah membaca surah Maryam, ayat 71:

وإن منكم إلا واردها كان على ربك حتما مقضيا

Maksudnya : Dan tiada seorang pun daripadamu melainkan mendatangi neraka itu. Keadaan itu bagi Tuhanmu merupakan suatu kemestian yang telah ditetapkan.
  
Abdullah bin Rawahah menyatakan ketakutan apabila merenungi ayat tadi. Lalu para sahabat yang lain menenangkannya serta mendoakan agar dijauhkan daripada perkara itu. Setelah itu mereka bertolak menuju ke Mu’tah yang terletak beribu kilometer dari Kota Madinah. Sebaik sahaja mereka tiba di Ma’an iaitu sebuah pekan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Mu’tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan Tentera Islam di mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai 100 000 bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Balqin dan Bahara’

Apabila mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang langkah mereka yang seterusnya di Ma’an selama dua malam. Ramai di kalangan mereka telah mencadangkan agar menghantar maklumat kepada Rasulullah S.A.W mengenai perkara ini tetapi Abdullah bin Rawahah dengan tegas bangun menyatakan : Demi Allah! Adakah kita benci kepada sebab keluarnya kita ke sini iaitu memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan kekuatan dan bukan kerana kuantiti tetapi kerana agama Islam yang telah Allah memuliakan kita dengannya. Maka maralah kamu sesungguhnya salah satu daripada 2 kebaikan akan kamu perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama keredhaan ALLAH s.w.t. Kata-kata semangat ini berjaya meniupkan kembali roh jihad dalam diri Tentera Islam.

         Peperangan meletus sebelum masuk kawasan Mu’tah lagi di antara Tentera Islam berjumlah 3000 orang dengan tentera Rom seramai 200 000 orang. Di dalam peperangan ini, ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Rasulallah s.a.w terkorban. Pada mulanya Zaid bin Harithah yang memegang bendera panji Islam tetapi beliau telah gugur syahid di mana panji tersebut seterusnya dipegang oleh Ja’afar bin Abi Thalib. Beliau turut gugur syahid di mana pada permulaannya tangan kanan beliau ditetak putus oleh musuh. Kemudiaannya beliau terus mengawal bendera panji Islam agar tidak jatuh dan ketika ini tangan kirinya pula dipotong oleh musuh. Namun begitu beliau terus menggigit bendera panji dengan giginya tetapi kali ini kepalanya telah dipenggal yang menyebabkan beliau gugur syahid. Selain kedua tangannya yang putus ditetak oleh musuh, terdapat 50 kesan panahan pada badan beliau. Rasulullah s.a.w menyatakn bagaimana Allah menjadikan kedua tangannya itu sebagai sayap yang membolehkan beliau berterbang bebas di Syurga. Sebab itulah beliau digelar dengan Ja’afar at-Toyyar dan Ja’afar yang mempunyai 2 sayap. Kemudian panji bendera Islam itu berpindah ke tangan Abdullah bin Rawahah tetapi beliau juga gugur syahid. 

         Apabila kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera Islam ketika itu.
Setelah beberapa ketika, Thabit mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam daripada diasak hebat oleh tentera Rom.
 
Dengan strategi pertukaran yang dibuat dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh.

Akhirnya kita dapat menyaksikan bagaimana Allah tetap menolong dan memberi kemenangan kepada hambaNya yang istiqomah, thabat dan bermujahadah dalam perjuangan yang hak dan ianya memerlukan ujian, mehnah dan dugaan bukannya boleh dihasilkan dengan cara mudah dan setakat goyang kaki sahaja. Seramai 12 orang tentera Islam yang gugur syahid termasuk 3 panglima yang dilantik. Manakala bilangan tentera Rom pula tiada jumlah secara tepat tetapi agak ramai yang mati. Peristiwa ini mengajar kita agar bermujahadah di dalam menjaga maruah diri dan Islam tercinta walaupun nyawa sebagai bayaran. Arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin wajib dipatuhi selagi mana ia tidak bersalahan dengan syarak.

 Kesan daripada peperangan ini masih ada sehingga sekarang yang mana kita boleh melawat maqam-maqam sahabat yang telah gugur syahid dalam peperangan ini di Mazar berdekatan dengan Mu’tah. 

Makam  Zaid ibn Harithah 


 Makam Ja’afar bin Abi Thalib


Makam Abdullah ibn Rawahah


Beberapa tahun yang lepas pihak kerajaan Jordan telah menggali dalam kawasan yang mana dikuburkan para syuhada’ bagi membina masjid baru menggantikan masjid yang lama. Ketika berjalannyakerja-kerja ini, berlakunya peristiwa yang mana salah sebuah jentolak yang digunakan telah terkena tubuh syuhada’ dan darah segar masih mengalir dari tubuh mereka walaupun lebih seratus tahun mereka meninggal dunia. Perkara ini berlaku kepada kubur-kubur yang tidak jelas kewujudannya kerana tiada sebarang tanda yang digunakan. Peristiwa ini meyakinkan lagi kepada kita bahawa mereka yang gugur syahid sebenarnya tidak mati di sisi Allah. Islam akan menang walaupun ia ditentang dan kekufuran akan kecundang walaupun ia ditatang oleh sebab kejahilan. 
Benarlah firman Allah dalam ayat 169 :

ولا تحسبن الذين قتلوا في سبيل الله أمواتا بل أحياء عند ربهم يرزقون

Maksudnya : Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan ALLAH itu mati, sedangkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuhan mereka dengan diberi rezeki.




  

2 Komen & Pandangan:

Catat Ulasan

:: من أنا ::

Foto saya
Mu'tah, Karak, Jordan