topbella

Isnin, Julai 12

Muslimah Solehah... Dia lah Srikandi Harapan Ummah



“Perhalusilah akhlakmu, maka benteng maruahmu sukar diroboh… Basahilah lidahmu dengan limpahan Kalam dari langit yang ketujuh… Pukullah hatimu agar sentiasa sujud bertawajjuh. Maka pasti terasa getaran dalam jiwamu dek kerana kehebatan Tuhan Yang Empunya ruh… Moga terbongkar rahsia keramat malam dan subuh. Dikala itu, bercahayalah ruhanimu disinari nur Taqwa yang menyuluh”.

·         Dia adalah HAWA.
·         Dia dicipta sebagai wanita. Pelengkap lelaki yang mempunyai keistimewaan yang tuntas dan termahal di dalam menjana peribadi unggul dan berprestij.
·         Dia adalah aspirasi setiap generasi. Bertepatan dengan fitrahnya yang lembut, berhikmah, halus dan tersendiri, ia mempunyai sentuhan ajaib yang terlalu sukar untuk diganggu gugat.
·         Agung dan uniknya wanita kerana menjadi tapak semaian pertama benih-benih generasi yang bakal mewarnai dunia dengan agenda perjuangan.
·         Peranannya di dalam memanusiakan manusia tidak pernah dinafikan oleh kebenaran sejarah.

Duhai saudariku Hawa yang dikasihi dan di rahmati ALLAH hendaknya…

Dilahirkan kita sebagai seorang wanita..
Kita ini  dianggap sebagai insan yang lemah, namun kita tidak pernah teragak-agak untuk bergandingan dengan rijal sebagai srikandi yang mekar dan terus mewangi di taman dakwah dan jihad.

Wahai kaumku HAWA….
-          Senyuman kita adalah rahsia yang tersingkap
-          Tangisan kita adalah rasa yang lahirnya dari lubuk hati
-          Kemarahan yang lahir adalah pemberontakan kasih sayang.

Amat malang, kewujudan makhluk ciptaan ALLAH s.w.t yang merupakan sebahagian daripada juzu’ alam ini disalahertikan oleh golongan jahiliyyah suatu ketika dahulu.  

Apa tidaknya, bagi mereka, wanita adalah lambang kehinaan, punca kepapaan, satu kaum yang tidak bernilai dan boleh ditanam hidup-hidup. Malahan…., memanjangkan hayat wanita bermakna membenarkan kehinaan bertapak di dalam keluarga. 

Wanita adalah golongan terpinggir yang tidak pernah diiktiraf haknya di dalam meneruskan kehidupan mereka. Kebencian mereka terhadap wanita didedahkan oleh Allah di dalam Al Quran ketika kalam kepastianNya dituturkan, yang bermaksud :
“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, hitamlah ( merah padamlah ) mukanya dan dia sangat marah.Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai,disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu”.
(Surah An Nahl, Ayat :58-59).

Alhamdulillah...
Kedatangan Islam meninggikan martabat wanita untuk bergerak seiring dengan kaum lelaki sebagai sayap kiri perjuangan. 
Firman ALLAH yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ”.
(Surah At Taubah, Ayat : 71)

"Wanita dimasyhurkan kerana tidak ditonjolkan. Ia tersembunyi biarpun hadirnya menggegarkan ”.

Sahabiyah, Ibu2, Kakak2 dan Adik2 yang dihormati…

Kelahiran Saidatina Khadijah r.a, Saidatina Aisyah r.a, Saidatina Fatimah r.a, Asma’, Rabiatul Adawiah dan srikandi-srikandi pejuang didikan madrasah Rasulullah menyerlahkan imej wanita sebagai ratu manusia dan ibu yang telah berjaya membentuk Generasi Rabbani. 

Misalnya, Saidatina Khadijah r.a, beliau adalah lambang keunggulan wanita muslimah. Sebaris nama itu sering menjadi sebutan dibibir Rasulullah s.a.w biarpun pada hari-hari selepas kematiannya. Dia adalah wanita pertama yang menjadi penyeri dunia Rasulullah s.a.w.
Manakala Saidatina Fatimah r.a yang solehah, beliau punyai peribadi anggun indah yang menjadi nadi kepada kelangsungan hayat Saidina Ali r.a. Puteri kesayangan Rasulallah ini tidak suka melihat lelaki dan tidak suka pula dilihat oleh lelaki.
Asma’ r.a, puteri sahabat Rasulallah iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah berjaya melahirkan Abdullah Az Zubir r.a, beliaulah panglima yang gagah berani melalui kemantapan tarbiyyah ibundanya Asma’.
Rabiatul Adawiah pula merupakan sumber inspirasi cinta yang sentiasa merindui penciptanya ALLAH ‘Azza Wajalla. Dia tenggelam di dalam keasyikan cinta Al Haq yang sering melafazkan alunan resah pada setiap penjuru dosa.

Lafaznya : “Bagaimana aku tidak bersedih sedangkan aku tidak tahu samada Dia marah atau redha denganku”.
“ Alangkah buruknya hamba yang menyembah Allah S.W.T semata-mata mengharapkan syurgaNya dan takutkan api nerakaNya.Seandainya Allah tidak menjadikan syurga dan neraka, apakah kamu akan menyembahNya ? ”.

Itulah wanita-wanita yang sering menggegarkan dunia, para srikandi mujahidah solehah ini menjadi idola setiap muslim yang beriman.

Walau bagaimanapun, Era pasca modenisme menyaksikan wanita-wanita yang seumpama itu kian lumpuh dan tandus. Wanita biasanya dikaitkan dengan kelemahan yang sering menuntut kebebasan. Mereka lebih mementingkan kecantikan zahir (jasmani) untuk dipertontonkan tanpa menekankan kecantikan diri (batin jua rohani) yang lebih universal dan abadi.

Wanita kini dieksploitasi oleh setiap golongan yang tidak memahami fungsi kewujudannya. Wanita bukan lagi pakar yang mempunyai penawar ampuh yang dapat  merawat penyakit ummah yang semakin kronik dan bervariasi. Malahan, kini kebanyakan mereka adalah wanita adunan barat yang sering mengaplikasikan imej Diana, Madonna, Elizabeth Taylor, atau Whitney Houtosn sebagai budaya. Mereka adalah puteri, ratu dan Cinderella abad ke 21 yang menjadi igauan dan impian wanita-wanita yang mempunyai penyakit hati.

Pastinya setiap wanita muslimah merasa terpanggil untuk merubah situasi ini. Emosi dan psikologi muslimah akan tertampar pedih melihat kemelut yang tercetus di abad ini. Ke mana hilangnya Khadijah, Aisyah, Fatimah, Rabiatul Adawiyah dan Isabella di dalam diri wanita hari ini ???

Apakah kehilangan mereka merupakan penamat kepada perjuangan muslimah atau pencetus kelahiran baru yang lebih gemilang?? 

Oleh itu wahai kaumku Hawa…

Biarlah ilmu dan kesedaran yang menentukan keinginan kita untuk bertindak. Cukuplah perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa kebanyakan wanita adalah penghuni neraka sebagai peringatan yang membataskan segala pergerakan dan kata-kata.

Marilah kita sama-sama mengutip sejarah keagungan wanita srikandi solehah terdahulu untuk kita warnakan kehidupan srikandi muslimah alaf baru. Kita adalah penerus kesinambungan semangat waja muslimah solehah yang bakal melahirkan seribu Asma’, Khadijah, Fatimah, Rabiatul Adawiyah dan seumpamanya.
 
“DUNIA ini ADALAH suatu PERHIASAN semata-mata. SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA ialah WANITA YANG SOLEHAH”.


Moga-moga diriku dan seluruh muslimah di luar sana tergolong dalam golongan yang sentiasa mendapat naungan Rahmat, ‘Inayah, Maghfirah dari ALLAH s.w.t. InsyaALLAH… ALLAHUMMA Aaaaminnnn…..

0 Komen & Pandangan:

Catat Ulasan

:: من أنا ::

Foto saya
Mu'tah, Karak, Jordan