بسم الله الرحمن الرحميم
السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Salam Mujahadah …
Ikhwah dan Akhawati…
Terlebih dahulu, syukur ke hadrat ALLAH s.w.t dengan limpah serta rahmat kurniaanNYA, kini kita masih lagi bernafas bersama dengan nikmat Iman dan Islam, insyaALLAH...
Selawat dan Salam buat junjungan mulia Rasulallah s.a.w…
اللهم صلّ على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم
Hari nie 12 Rabiul Awwal 1432H, semua kita tahu ianya “Tarikh Istimewa”. Bahkan, lazimnya umat Islam di Malaysia akan menyambut tarikh ini sempena keputraan Rasulullah s.a.w setiap tahun. Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiul Awwal setiap tahun adalah cuti umum. Pelbagai acara seperti Perarakan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Malangnya, sepanjang 3 tahun maksue di bumi Jordan ini, tidak pula dengar sambutan Maulidur Rasul yang meriah sepertimana yang kita amalkan di Malaysia.
Mari nasyid sama-sama :
Hakikatnya, ahli-ahli sejarah Islam telah berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah s.a.w lahir pada malam Isnin 12 Rabiul Awwal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiul Awwal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.
Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah s.a.w lahir pada 9 Rabiul Awwal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w lahir pada 9 Rabiul Awwal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.
Didapati bulan kelahiran Rasulullah s.a.w iaitu bulan Rabiul Awwal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiul Awwal manakala 12 Rabiul Awwal jatuh pada hari Rabu.
Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiul Awwal ialah pada Isnin 9 Rabiul Awwal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah s.a.w bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.
Apapun, maksue harap, hadaf kita bagi sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita Umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah s.a.w. Moga-moga dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Kerana Baginda Rasulallah s.a.w. tidak pernah melupakan kita hinggakan ke hujung nyawa, Baginda masih menyebut : “Ummati… Ummati.. Ummati…”. Kita bagaimana??! Jadi, walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat saja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.
Mujahidin dan Mujahidah Islam yang maksue kasihi,
Bulan Rabiul Awwal sebenarnya bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiul Awwal, pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.
Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.
Erm… sebagai iktibar bersama, teliti peristiwa penting pada bulan Barokah ini.
Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awwal
Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiul Awwal ini dan di antaranya ialah;
- Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M.
- Sumber ini adalah masyhur dan menjadikan amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang.
- Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Di bulan Rabiul Awwal inilah Nabi Muhammad s.a.w diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi s.a.w berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
- “Hijrah”. Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awwal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
- “Peperangan”. Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w di antara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiul Awwal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
- Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
- Abu Bakar r.a. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah s.a.w yang diketuai oleh Saidina Ali r.a Ahli Bait Rasulullah saw.
- Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
- Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
- Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.
Masya ALLAH… Banyakkan peristiwa agung dalam bulan nie..
Walaupun Bulan Rabiul Awwal adalah seperti bulan-bulan Islam yang lain juga, tidak seistimewa seperti bulan Ramadhan mahupun Zulhijjah, namun kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardhu dan sunat tanpa mengira di bulan manapun di sepanjang tahun. Amalan-amalan kita itu akan menjadi bekalan untuk kita meneruskan perjalanan ke padang mahsyar esok.
Moga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat kita agar kita mempunyai bekalan untuk dibawa ke kampung Akhirat esok, InsyaAllah.
0 Komen & Pandangan:
Catat Ulasan